LONDON: Para saintis mempercayai jamban duduk baharu yang direka oleh teknologi Smart Toilet untuk mengambil gambar najis bakal menjadi penyumbang terbesar kepada aspek kesihatan.
Lapor DailyStar, jamban itu berupaya mengenal pasti najis anda dengan algoritma dan memaklumkan kepada doktor mengenai sebarang masalah kesihatan.
Peralatan inovatif itu berupaya membantu jutaan orang yang tidak mengetahui mereka menghidapi kanser usus untuk mendapatkan rawatan segera.
Teknologi itu boleh dipasang dalam sistem saliran di tandas sedia ada dan merakamkan gambar najis seseorang ketika mereka membuang air besar dan menghantarnya dengan mudah.
Algoritma komputer kemudian akan menentukan sama ada pergerakan najis itu longgar, normal atau mengalami sembelit serta sama ada terdapat darah pada najis.
Selain membantu mengenal pasti barah usus yang berisiko membawa maut, teknologi itu dapat membantu mengatasi keadaan seperti sindrom iritasi usus (IBS) dan penyakit radang usus (IBD).
Dianggarkan sekitar dua daripada sepuluh orang mengalami IBS di United Kingdom.
Penulis utama di Duke University Durham, North Carolina, Deborah Fisher berkata, kebiasaannya ahli gastroenterologi iaitu pakar usus perlu bergantung kepada maklumat yang disampaikan sendiri oleh pesakit mengenai najis mereka untuk menentukan punca masalah kesihatan.
“Pesakit selalunya tidak mampu mengingati bentuk najis mereka atau berapa kerap mereka mengalami masalah usus, sedangkan itu adalah proses pemantauan asas.
“Teknologi Smart Toilet membolehkan maklumat jangka masa panjang diperoleh dengan bekalan data lebih tepat,” katanya.