ROM: Pihak berkuasa Itali melancarkan siasatan untuk mengenal pasti punca kemalangan sebuah kereta kabel yang jatuh terhempas sehingga meragut 14 nyawa semalam.
Lapor BBC, pihak pendakwaan di Milan memaklumkan sudah membuka siasatan atas pertuduhan bunuh tanpa niat dan kecuaian.
Pegawai penyiasat berkata, pihaknya juga telah merampas dokumen teknikal dan penyelenggaraan syarikat yang terlibat.
Berdasarkan laporan akhbar La Repubblica, peguam bagi syarikat, Ferrovie del Mottarone mendakwa penyelenggaraan dan pemeriksaan dilakukan secara berkala.
Sekurang-kurangnya 14 orang maut apabila sebuah kereta kabel jatuh berhampiran Tasik Maggiore di utara Itali, semalam.
Sebanyak 13 orang termasuk seorang kanak-kanak berusia dua tahun meninggal dunia di tempat kejadian.
Dua lagi mangsa yang berusia sembilan dan lima tahun dibawa ke hospital di Turin namun seorang daripadanya meninggal dunia beberapa jam kemudian.
Seramai 15 penumpang menaiki kereta kabel yang bersambung dengan sebuah resort di pekan Stresa dan pergunungan Mottarone di wilayah Piedmont ketika kejadian berlaku.
Insiden itu dipercayai berlaku apabila tali yang menyokong kereta kabel berkenaan terputus. – AGENSI