Israel tidak akan menang di Gaza - Utusan Malaysia

Israel tidak akan menang di Gaza

KELUARGA Diama Assalea meratapi kehilangannya selepas kanak-kanak itu maut akibat serangan udara tentera Israel di Jabalia, utara Semenanjung Gaza, Palestin. - AFP
Share on facebook
Share on twitter
Share on whatsapp
Share on email
Share on telegram

BRADFORD, England: Biarpun mendapat kecaman daripada pelbagai pihak, Israel kini menjadi satu daripada entiti paling berkuasa di Asia Barat.

Jumlah anggota tenteranya mungkin tidak seramai Mesir mahupun Turki, namun latihan yang diperoleh, peralatan, teknologi serta senjata nuklear yang dimiliki menjadikan mereka antara pasukan tentera paling kuat di dunia.

Perdana Menteri Israel, Benjamin Netanyahu berulang kali mendakwa ‘negaranya’ selamat dan tiada apa yang perlu ditakutkan dengan Palestin.

Selain itu, beliau dengan yakin menyatakan penempatan haram Yahudi di Tebing Barat, terutamanya di Baitulmuqaddis Timur boleh dan perlu diperluaskan dari semasa ke semasa.

Dengan semua jaminan tersebut, termasuk sokongan kuat daripada Presiden Amerika Syarikat (AS), Joe Biden, Israel sepatutnya boleh berasa selamat dan terjamin.

Namun, hakikatnya, Israel tidak akan dapat memperoleh ‘keselamatan dan jaminan’ yang dijanjikan kerana pergolakan di Palestin menjadikan negara itu semakin dibenci oleh kebanyakan negara Islam di seluruh dunia.

 

Masalah Israel

Antara masalah utama yang dihadapi Israel ketika ini adalah pasukan keselamatannya tidak dapat menangkis serangan roket Hamas tanpa melakukan operasi ketenteraan di darat.

Kali terakhir tentera Zionis melakukan operasi di daratan adalah ketika konflik Julai 2014, menyaksikan Israel kehilangan 68 anggota tentera, ratusan cedera dan ada yang mengalami kecacatan kekal.

Ketika gencatan senjata dipersetujui bagi menghentikan konflik tersebut, Pasukan Pertahanan Israel (IDF) menyedari dan menerima bahawa Hamas masih mempunyai 3,000 roket dan jumlah itu akan meningkat dari semasa ke semasa.

Barisan kepemimpinan IDF pula percaya mereka sudah pun membuat persiapan rapi untuk melaksanakan operasi ketenteraan di darat dan dapat melumpuhkan serangan roket Hamas.

Namun, ‘kepercayaan dan keyakinan’ itu masih tidak memihak Israel apabila tentera Zionis masih gagal melakukan operasi di darat dalam tempoh enam tahun kemudian.

 

Kuat tapi tidak selamat

Kegagalan misi tentera Zionis menyaksikan Netanyahu ‘bekerja keras’ untuk menyakinkan penduduk Israel bahawa Palestin sudah dikalahkan dan semua kaum Yahudi akan selamat.

Selain itu, idea mengenai kekalahan Palestin rancak dicanang oleh semua sektor pelobi Israel di AS, terutamanya dalam Forum Asia Barat.

Keadaan itu menunjukkan sebenarnya Israel takut dengan bayang-bayang sendiri dan enggan mengaku mereka tidaklah selamat sepenuhnya.

 

Kemarahan memuncak

Kemarahan penduduk Palestin yang sudah lama dipendam semakin memuncak selepas pasukan keselamatan Israel menceroboh Masjid al-Aqsa secara berulang kali dan beberapa pihak berpendapat, kebencian itu lebih ‘mendalam dan lama’ berbanding yang diakui Barat ketika ini.

Tindakan bacul Israel yang mencemari al-Aqsa bermula pada hari pertama Ramadan iaitu pada 13 April lalu, selepas anggota polis Zionis memotong kabel pembesar suara di empat menari dalam masjid tersebut.

Media tempatan melaporkan, tindakan itu dibuat bagi mengelakkan azan berkumandang ketika Presiden Israel, Reuven Rivlin menyampaikan ucapan di kawasan berhampiran.

Berang apabila kesucian agama Islam dipersendakan, penduduk Palestin menzahirkan kemarahan mereka menerusi demonstrasi sehingga pergerakan Hamas mengancam melancarkan roket ke Israel.

 

Israel goyah

Kepincangan Israel ditambah pula dengan pergolakan politik apabila Netanyahu sehingga kini masih mahu kekal berkuasa.

Netanyahu bertungkus-lumus menyelamatkan karier politiknya dan berusaha menunjukkan beliau adalah satu-satunya ahli politik yang boleh melindungi Israel walaupun kepercayaan rakyat terhadapnya mula goyah.

Hal ini kerana Netanyahu didakwa terlibat dalam skandal rasuah serta salah guna kuasa dan beliau menjadi perdana menteri pertama Israel yang didakwa atas jenayah tersebut.

Selain itu, strategi Israel untuk ‘menjadi mangsa’ dalam konflik yang berlaku gagal apabila isu pencerobohan al-Aqsa mencetuskan gelombang solidariti dunia untuk Palestin.

Malah, negara bukan Islam juga semakin banyak menyebelahi Palestin. 

Tidak mahu terlepas? Ikuti kami di

 

BERITA BERKAITAN

Teruskan membaca

Nikmati akses tanpa had serendah RM9.90 sebulan

Sudah melanggan? Log Masuk untuk membaca berita sepenuhnya