SRI LANKA: Para doktor di India memberi amaran berhubung amalan menggunakan najis lembu yang dipercayai sebagai penawar Covid-19 dalam kalangan masyarakat.
Malah, tiada bukti saintifik menunjukkan keberkesanannya serta mendatangkan risiko penyebaran penyakit lain.
Di Gujarat, negeri yang terletak di barat India, ada individu yang sanggup mengunjungi pusat rawatan lembu seminggu sekali untuk melumur badan mereka dengan najis dan air kencing lembu.
Amalan tersebut dipercayai dapat meningkatkan imuniti mereka atau mampu memulihkan diri daripada wabak Covid-19.
Golongan doktor dan para saintis di India serta seluruh dunia berulang kali memberi amaran mengenai amalan rawatan alternatif tersebut yang berisiko menyebabkan komplikasi kesihatan lain.
Presiden Persatuan Kesihatan India, Dr. JA Jayalal menegaskan tiada bukti saintifik menunjukkan najis atau air kencing lembu mampu meningkatkan tahap imuniti seseorang terhadap virus Covid-19.
“Amalan ini hanya berdasarkan kepercayaan turun temurun oleh generasi sebelum ini.
“Ia malah mengundang risiko penularan penyakit lain daripada haiwan kepada manusia,” katanya.
Penduduk di negara itu mengamalkan penggunaan najis lembu sejak berabad-abad lamanya bagi membersihkan rumah serta digunakan dalam ritual keagamaan kerana dipercayai mempunyai unsur terapi dan antiseptik. -REUTERS