NEW DELHI: Penasihat pandemik di Amerika Syarikat (AS), Dr. Anthony Fauci menyarankan India untuk melaksanakan perintah berkurung selama beberapa minggu bagi menangani peningkatan kes jangkitan Covid-19 secara mendadak di negara itu.
Sebelum ini, kerajaan dibawah pimpinan Perdana Menteri, Narendra Modi menolak untuk mengenakan perintah berkurung di seluruh negara selepas sekatan demikian dilaksanakan pada tahun lalu menyaksikan ekonomi India terjejas teruk.
“Saya rasa perkara paling penting pada ketika ini adalah untuk mendapatkan bekalan oksigen, perubatan, peralatan perlindungan diri (PPE) dan lain-lain lagi.
“Satu lagi perkara segera perlu dilakukan adalah melaksanakan perintah berkurung di negara itu,” katanya seperti dipetik akhbar tempatan Indian Express.
Fauci turut memaklumkan cadangan perintah berkurung itu tidak perlu dilaksanakan untuk tempoh yang lama.
“Sekiranya perintah berkurung dilaksanakan, anda tidak perlu tutup sehingga enam bulan. Anda masih boleh mengenakan penutupan sementara untuk menghentikan penularan wabak.
“Tiada siapa suka mengenakan perintah berkurung tetapi jika anda laksanakan hanya untuk beberapa minggu, ia bakal memberi kesan signifikan terhadap wabak tersebut,” katanya. – AP