NEW DELHI: India dijangka menjalankan kajian kebolehlaksanaan rejimen yang menggabungkan dua vaksin Covid-19 yang berlainan.
Langkah itu bagi mengetahui sama ada penggunaan dua jenis vaksin Covid-19 yang berbeza dapat meningkatkan imun terhadap virus tersebut.
Berdasarkan laporan The Indian Express, kajian itu mungkin dijalankan dengan menggunakan vaksin Covid-19 sedia ada di negara tersebut termasuk beberapa vaksin dalam perancangan.
Pengerusi Jawatankuasa Khas menangani Covid-19 dibawah Kumpulan Penasihat Teknikal Nasional berkaitan Imunisasi (NTAGI), Dr. N.K Arora berkata, kajian tersebut dijangka bermula dalam beberapa minggu lagi.
Katanya, kira-kira lapan jenis vaksin Covid-19 akan dicampurkan dan dipadankan sebagai sebahagian daripada proses tersebut.
Vaksin itu termasuk Covishield, Covaxin dan Sputnik V yang diluluskan untuk kegunaan kecemasan di India.
Ujian klinikal itu akan mengkaji beberapa faktor antaranya kesan penggunaan dua jenis vaksin berbeza secara bersama serta vaksin keluaran yang sesuai untuk diberikan sebagai dos pertama dan kedua.
“Kami sedang meneliti gabungan vaksin yang memberikan perlindungan lebih baik.
“Ketika ini, vaksin digunakan hanya memberi perlindungan terhadap wabak dan penyakit serius.
“Ia tidak memberikan tahap perlindungan daripada jangkitan dan penularan virus seperti mana yang kita mahukan,” katanya. – AGENSI