NEW YORK: Seorang wanita dalam proses memohon kebenaran untuk menggali semula kubur anak perempuannya selepas dikebumikan bersama suaminya yang telah membunuh anaknya dalam satu kejadian tragis.
Lapor Metro, Rebecca Saunders, 34, memberitahu suaminya, Martin McCarthy, 50, bahawa dia tidak boleh hidup bersama dengannya lagi dan mahu meninggalkan rumah mereka di Ireland, pada Mac 2013.
Ketika kejadian, Saunders turut memaklumkan dia ingin membawa anak perempuannya dan berpindah ke Amerika Syarikat (AS).
McCarthy, 50, kemudian bertindak membunuh diri dengan melemaskan dirinya bersama Clarissa, 3, secara sengaja di laut di Audley Cove, West Cork di Ireland.
McCarthy dan Clarissa dikebumikan bersama di sebuah tapak perkuburan di Ireland.
Saunders mahu menggali semula kubur dan membawa mayat anak perempuannya bersama ke AS agar dapat memperbetulkan `kesilapan’ yang dilakukan sebelum ini.
Seorang pengendali upacara pengebumian memaklumkan kepada Saunders bahawa proses memisahkan mayat Clarissa daripada McCarthy masih boleh dilakukan walaupun sudah mencecah lebih lapan tahun.
“Saya berasa lega selepas mengetahui maklumat ini selepas asyik memikirkan mengenai perkara itu ketika ingin memohon kebenaran untuk menggali kubur anak perempuan saya,” katanya.
Saunders menerima sijil kematian McCarthy pada 30 April lalu.
Dokumen itu diperlukan bagi membolehkan Saunders membuat permohonan menggali kubur anaknya.
Saunders bercadang untuk mengemukakan permohonan tersebut pada hujung bulan ini.