SHEFFIELD: Sebuah sekolah rendah di South Yorkshire membuat permohonan maaf disebabkan kecuaian memaparkan imej karikatur Nabi Muhammad semasa sesi perhimpunan serta mengucapkan ulang tahun kelahiran baginda.
Lapor Daily Mail, tindakan kakitangan di Hunter’s Bar Junior School di Sheffield itu mencetuskan kemarahan seorang bapa yang menggesa waris murid lain mengeluarkan anak mereka daripada sesi pembelajaran tersebut.
Atif Mohammed, 35, menolak permohonan maaf tersebut, malah menuntut guru yang dipercayai menayangkan imej karikatur tersebut dipecat.
Dia berkata, kesalahan itu sebagai tidak masuk akal kerana institusi yang sepatutnya mendidik anak-anak menunjukkan kejahilan secara terang-terangan.
Lelaki itu turut menegaskan tidak akan membenarkan anak-anaknya kembali ke sekolah.
Sejak kejadian itu, Atif berusaha mendapatkan sokongan ibu bapa lain supaya mengadakan tunjuk perasaan akibat ketegangan yang timbul.
Pihak polis pula memaklumkan mereka sudah dihubungi oleh pihak sekolah berhubung perhimpunan kecil yang diadakan di premis sekolah.
Islam melarang sebarang bentuk melukis karikatur mengenai Nabi Muhammad mahupun nabi lain kerana dianggap sebagai satu bentuk penghinaan terhadap agama.
Dalam pada itu, sehingga kini masih belum jelas bagaimana kesalah itu berlaku, tetapi difahamkan gambar itu ditunjukkan semasa perhimpunan yang diadakan Jumaat lalu bagi meraikan pencapaian murid-murid semasa bulan Ramadan.
Ulang tahun kelahiran baginda bakal disambut oleh umat Islam pada 18 dan 19 Oktober tahun ini, namun, tidak jelas sama ada guru itu sengaja atau sebenarnya terkeliru menganggap Ramadan adalah perayaan menyambut kelahiran junjungan besar Muhammad SAW.
Menurut Mohammed, dua anaknya yang berusia lapan dan 10 tahun mendakwa seorang guru mengetuai perhimpunan sambil menayangkan ulang tahun kelahiran murid-murid menerusi aplikasi Zoom.
Katanya, guru itu tiba-tiba mengucapkan selamat ulang tahun kelahiran kepada Nabi Muhammad sebelum menunjukkan gambar tersebut.