GENEVA: Perhimpunan Agung Pertubuhan Bangsa-Bangsa Bersatu (UNGA) dijangka mempertimbangkan satu resolusi tidak terikat yang menggesa gencatan senjata dikenakan terhadap Myanmar.
Resolusi diusulkan oleh Liechtenstein dengan sokongan Kesatuan Eropah (EU), Britain dan Amerika Syarikat (AS), pendekatan itu akan dipertimbangkan pada mesyuarat pleno yang dijadualkan berlangsung esok (waktu Malaysia Rabu).
Draf resolusi itu menggesa penangguhan segera bagi urusan membekal, menjual atau memindahkan semua jenis senjata, amunisi dan peralatan ketenteraan lain sama ada secara langsung atau tidak langsung ke Myanmar.
“Mesyuarat tersebut akan diadakan secara bersemuka,” kata seorang jurucakap PBB kepada AFP.
Berbeza dengan Majlis Keselamatan, resolusi di perhimpunan agung tidak terikat namun memiliki pengaruh politik yang kuat.
Sekiranya, persetujuan menerusi kata sepakat tidak dapat dicapai maka perhimpunan agung yang terdiri daripada 193 anggota negara akan mengundi terhadap pendekatan berkenaan.
Draf yang dirundingkan selama beberapa minggu, ditaja bersama 48 negara dengan Korea Selatan merupakan satu-satunya negara Asia.
Resolusi itu juga menggesa junta tentera mengakhiri darurat di Myanmar dan menghentikan segala kekerasan terhadap penunjuk perasaan serta membebaskan tahanan politik termasuk Presiden Win Myint dan Aung San Suu Kyi.
Draf itu juga antara lain mendesak untuk melaksanakan lima perkara yang dipersetujui dalam sidang kemuncak khas ASEAN berlangsung di Jakarta, bulan lalu.
Antara lima perkara yang dibangkitkan adalah membenarkan lawatan delegasi ASEAN ke Myanmar dan menyediakan akses bantuan kemanusiaan yang selamat dan tanpa gangguan. – AFP