GAZA CITY: Kumpulan hak asasi manusia Palestin, Al-Haq mendesak satu siasatan antarabangsa dijalankan terhadap semua serangan udara yang dilancarkan oleh tentera Israel di Gaza.
Al-Haq berkata, siasatan itu juga perlu mengambil kira serangan udara yang menyasarkan wartawan dan organisasi media.
Kenyataan kumpulan hak asasi Palestin itu merujuk kepada menara al-Jalaa yang menempatkan pejabat Al-Jazeera dan agensi berita The Associated Press, musnah dalam serangan udara Zionis baru-baru ini.
Al-Haq menyifatkan serangan Israel terhadap media sebagai tindakan menyalahi undang-undang.
Katanya, negara anggota Pertubuhan Bangsa-Bangsa Bersatu (PBB) harus mengutuk serangan tidak berasas Israel yang menyasarkan bangunan organisasi media di Gaza.
“PBB harus menekan Israel untuk melihat pengamal media dan bangunan organisasi media sebagai orang dan harta awam yang dilindungi.
“PBB juga harus mendesak Israel menghormati hak kemanusiaan golongan media,” kata kumpulan itu. – AGENSI.