NEW YORK: Tunisia, Norway dan China menggesa satu lagi mesyuarat tergempar Majlis Keselamatan Pertubuhan Bangsa-Bangsa Bersatu (PBB) diadakan bagi membincangkan pergolakan yang semakin buruk antara Israel dan Palestin.
Seorang diplomat memberitahu wartawan AFP, tiga negara berkenaan meminta mesyuarat tergempar peringkat tertinggi itu diadakan pada Jumaat.
Katanya, sesi tersebut akan berlangsung secara terbuka dan melibatkan penyertaan daripada Israel dan Palestin.
Sebelum ini, Majlis Keselamatan PBB sudah mengadakan dua mesyuarat tertutup sejak Isnin lalu, yang berakhir tanpa sebarang kesepakatan.
Dalam mesyuarat tersebut, Amerika Syarikat (AS) enggan menyokong satu deklarasi bersama yang didakwanya tidak akan membantu mengurangkan situasi di negara tersebut.
Keganasan antara Israel dan Palestin semakin buruk sejak beberapa hari lalu selepas ketegangan meningkat di Baitulmuqaddis Timur berikutan pasukan keselamatan Israel menyerbu Masjid Al-Asqa dan menyerang penduduk Palestin. – AFP