GAZA: Walaupun Hamas dan Israel mengumumkan mengenai gencatan senjata, namun, tiada jaminan situasi itu akan dilaksanakan mahupun diteruskan.
Hal ini terbukti apabila tidak sampai beberapa jam selepas pengumuman itu dibuat, tentera Israel terus menembak penduduk Palestin yang berhimpun di Masjidil Aqsa selepas solat Jumaat dengan gas pemedih mata.
Menteri Luar Palestin, Riyad Al-Maliki melahirkan kebimbangan itu kerana tiada jaminan gencatan senjata antara kedua-dua belah pihak akan dikotakan.
“Tiada jaminan langsung kerana Israel mengisytiharkan gencatan senjata adalah melibatkan sebelah pihak sahaja. Mereka membuat keputusan sendiri,” katanya menerusi temu bual eksklusif bersama Al-Jazeera.
Berbeza dengan kenyataan Israel, Mesir, Qatar dan Pertubuhan Bangsa-Bangsa Bersatu (PBB) memainkan peranan penting dalam melakukan rundingan mengenai gencatan senjata.
“Kesemuanya bergabung bagi mendapatkan persetujuan semua pihak dan kami mendapatkan persetujuan itu,” jelasnya.
BIDEN KOMITED
Bagaimanapun, di sebalik ketidaktentuan itu, Presiden Amerika Syarikat (AS), Joe Biden dilihat lebih komited memulihkan semula Semenanjung Gaza menerusi penyelesaian dua negara.
Beliau menjelaskan sudah menggesa Israel supaya menghentikan pertempuran di wilayah bergolak Baitulmuqaddis dan komitmennya tidak berubah terhadap usaha perdamaian.
“Tiada perubahan dalam komitmen saya terhadap keselamatan Israel supaya tiada pergeseran berlaku.
“Pergeseran itu perlu dihentikan menerusi penyelesaian dua negara kerana itu adalah satu-satunya jawapan,” jelasnya.
Penyelesaian Dua Negara atau Two-State Solution berdasarkan garis sempadan sebelum 1967, dengan Baitulmuqaddis sebagai ibu negara Palestin sebagai satu-satunya jalan penyelesaian terhadap konflik Palestin-Israel.