WASHINGTON: Walaupun Bill Gates dilanda kontroversi mengenai dakwaan hubungan sulit dengan seorang kakitangan Microsoft, namun peranannya dalam syarikat itu serta yayasannya dikatakan masih kekal berpengaruh.
Pengkritik mengatakan pendedahan itu menimbulkan kebimbangan mengenai akauntabiliti, walaupun belum jelas seberapa besar reputasi Gates yang akan mempengaruhi institusi berkait rapat dengan dirinya.
Yayasan Bill dan Melinda Gates menjelaskan, pihaknya tidak akan menyiasat sebarang tuduhan di media kerana insiden yang dilaporkan melibatkan salah satu organisasi bukan berasaskan keuntungan terbesar serta paling berpengaruh di dunia yang dibuat oleh bekas pekerjanya.
Jurucakap menerusi kenyataan kepada AP berkata, yayasan itu tidak pernah menerima sebarang aduan rasmi mengenai salah laku Bill Gates.
“Ketika kami menerima tuduhan salah laku, kami menganggapnya sangat serius dan mengambil tindakan bersesuaian dengan situasi tersebut,”katanya.
The New York Times dan Wall Street Journal hujung minggu lalu, mendedahkan bilionair berusia 65 tahun itu pernah menjalin hubungan sulit dengan seorang kakitangan syarikatnya, 20 tahun lalu.
Menurut Microsoft, syarikatnya melantik firma guaman pada hujung 2019 bagi menjalankan siasatan selepas dakwaan seorang jurutera menerusi sepucuk surat.
Mac tahun lalu, syarikat itu mengumumkan Gates meletakkan jawatan untuk memberikan tumpuan terhadap yayasannya.
Namun, Gates dikatakan masih meneruskan perkhidmatan sebagai penasihat teknologi kepada Ketua Pegawai Eksekutif, Satya Nadella dan pemimpin kanan Microsoft lain. -AP