JAKARTA: Kejadian kecurian yang berlaku di beberapa premis perniagaan di Tanjung Karang, Lampung menjadi tumpuan pelbagai pihak kerana modus operandi yang digunakan oleh suspek.
Menurut polis, suspek yang dipercayai bertindak berseorangan itu menggali lubang bawah tanah sehingga ke dalam premis dan mencuri kesemua barangan berharga di lima kedai.
Seorang daripada pemilik kedai, Layla berkata, rakaman kamera litar tertutup menunjukkan suspek keluar daripada lubang tersebut sebelum mencuri.
“Suspek pada mulanya mencuri di kedai saya sebelum beralih ke kedai yang lain.
“Saya anggarkan lubang mempunyai diameter seluas 70 sentimeter,” katanya kepada Kompas.com.
Dalam pada itu, jurucakap polis, David Jackson berkata, polis masih menyiasat insiden itu dan dalam usaha memburu suspek.
Jelas David, antara barangan yang dicuri suspek termasuk dua CCTV dan sejumlah duit.
“Dianggarkan kos kerugian yang dialami oleh para peniaga adalah sebanyak 50 juta rupiah (RM14,178),” ujarnya.