Gadai nyawa demi masa depan - Utusan Malaysia

Gadai nyawa demi masa depan

PASUKAN keselamatan membawa mayat pendatang kanak-kanak selepas bot yang dinaiki karam di perairan Libya berhampiran al-Hmidiya di timur Tripoli pada Jun 2018. - AFP
Share on facebook
Share on twitter
Share on whatsapp
Share on email
Share on telegram

SFAX, Tunisia: Aminata Traoure terselamat dalam satu kejadian kapal karam pada Mac lalu namun kehilangan bayi perempuan, adik dan anak saudaranya.  

Meskipun kehilangan orang tersayang dalam kejadian tersebut, wanita dari Ivory Coast itu masih tidak berputus asa untuk merentas ke Eropah secara haram.  

Bagi Traoure, 28, merentasi lautan Mediterranean dari Tunisia merupakan satu-satunya harapan untuk membina masa depan yang lebih baik.

“Meninggalkan Tunisia, sudah tentu dapat meredakan kesukaran yang saya alami ketika ini, “katanya.

Cubaan Traoure untuk merentas ke Eropah berakhir dengan tragedi pada 9 Mac lalu selepas bot yang dinaikinya terbalik di Mediterranean sehingga menyebabkan dia bersama kira-kira 200 pendatang lain terkapai-kapai di lautan. 

Antara 39 penumpang lemas merupakan bayi perempuannya yang berusia 15 bulan, Sangare Fatim.

Menurut Traoure, dia mahu pulang ke negara asal namun tidak mampu menampung kos tersebut.  

Harga tiket termasuk jumlah denda yang perlu dibayar akibat menetap di Tunisia secara haram selama tiga tahun, lebih tinggi berbanding kos untuk merentas ke Eropah.  

“Saya perlu cuba lagi,” katanya.

Bilangan individu yang merisikokan nyawa untuk menyeberang laut berbahaya dari Tunisia semakin meningkat, malah buat pertama kalinya, penumpang yang berada dalam bot itu kebanyakannya bukan warga Tunisia.    

Berdasarkan pertubuhan hak asasi FTDES, pada suku pertama tahun ini, lebih separuh daripada mereka dari Tunisia yang tiba di Itali majoritinya adalah warganegara dari negara Afrika sub-Sahara. 

Setakat ini, sekurang-kurangnya 453 pendatang maut ketika cuba merentasi laut dari Afrika Utara ke Eropah, kata Organisasi Antarabangsa untuk Migrasi.

Kira-kira 100 daripada jumlah pendatang itu berlepas dari pelabuhan Sfax di Tunisia. 

 

Harapan keluarga

“Meskipun terdapat insiden kapal karam, kami sentiasa bersedia merisikokan nyawa kami,” kata Prista Kone, 28, dari Ivory Coast.

Wanita itu pernah cuba merentas laut pada tahun lalu namun bot yang dinaikinya ditahan oleh pihak berkuasa Tunisia.      

Kone yang memiliki ijazah sarjana muda dalam pengurusan perniagaan tiba di Tunisia pada 2014 dan merancang untuk melanjutkan pengajiannya.

Namun, Kone terpaksa bekerja sebagai pembantu rumah kerana tidak mempunyai wang yang mencukupi.

Dia juga berdepan dengan krisis perkauman di Tunisia.

“Majikan saya pernah melarang saya daripada menyentuh anak-anaknya kerana saya berkulit hitam. Malah, apabila sesuatu barang hilang di rumah, dia menuduh saya mencurinya,” ujar Kone.  

Tambahnya, dia juga berdepan pelbagai insiden antaranya digelar dengan panggilan yang tidak senonoh dan pernah dibaling batu ketika berada di tempat awam. – AFP

 

Tidak mahu terlepas? Ikuti kami di

 

BERITA BERKAITAN

Teruskan membaca

Nikmati akses tanpa had serendah RM9.90 sebulan

Sudah melanggan? Log Masuk untuk membaca berita sepenuhnya