LONDON: Sekeping filem dari rancangan dokumentari terkenal, Alien Autopsy akan dilelong dengan bidaan bermula pada harga AS$1 juta (RM4.13 juta).
Lapor Daily Star, filem hitam putih itu menunjukkan sebuah entiti yang didakwa merupakan mayat makhluk asing sebenar terbaring atas meja makmal.
Filem itu juga menunjukkan makhluk asing itu mengalami kecederaan pada kaki kanan dan berkepala botak.
Selain itu, turut kelihatan para saintis yang memakai sut perlindungan berwarna putih mengelilingi makhluk asing berkenaan.
Didakwa, makhluk itu dikeluarkanl dari objek terbang tidak dikenali (UFO) yang terhempas di Roswell, New Mexico pada tahun 1947 dan kemudian dibedah secara rahsia oleh kerajaan Amerika Syarikat (AS).
Rakaman selama 17 minit itu disiarkan buat pertama kali di AS oleh televisyen Fox dengan tajuk Alien Autopsy: Fact or Fiction pada 28 Ogos 1995.
Dilaporkan, Brit Ray Santilli ingin melelong filem itu setelah memperolehinya daripada seorang jurukamera tentera AS pada 1992.
“Saya percaya teknologi yang kita nikmati hari ini bermula pada 1947 dengan kemalangan UFO di Roswell.
“Kepingan filem tersebut merupakan satu bahan paling berharga,” kata Santilli.