JAKARTA: Sebuah organisasi belia di Surabaya menganjurkan satu acara yang membolehkan orang ramai menjual semua barangan yang diberikan oleh bekas kekasih masing-masing.
Lapor Tribunnews, Better Youth Foundation menganjurkan Festival Mantan (bekas) di pusat beli-belah Royal Plaza Surabaya.
Penganjurnya, Muhammad Abriadi berkata, festival itu secara tidak langsung membantu mereka yang pernah putus cinta untuk meneruskan kehidupan seperti biasa dan tidak perlu lagi mengenangkan memori yang pahit.
“Daripada kita buang, baik kita jual, kenangan pahit hilang, duit pun dapat.
“Terdapat barang yang dijual masih dalam keadaan baik dan boleh digunakan, maka lebih baik kita jual kepada pihak yang memerlukan,” katanya.
Selain itu, Muhammad Abriadi memberitahu, setiap barang yang dipamerkan dalam festival itu dilengkapi dengan keterangan serta bukti pemberian dari bekas kekasih.
Katanya, kisah itu termasuk bagaimana pasangan kekasih tersebut boleh berpisah akan menarik perhatian pembeli untuk memilih barangan yang mereka ingini.
“Festival itu mendapat sambutan yang menggalakkan dan banyak penyertaan kami terima.
“Kami pernah menganjurkan acara yang sama pada 2018 dan 2019,” ujarnya.