JEDDAH: Pegawai kastam di Arab Saudi berjaya mematahkan cubaan dua penumpang sebuah pesawat untuk menyeludup lebih 1.6 kilogram dadah jenis kokain ke negara ini.
Lapor Arab News, pegawai kastam di Lapangan Terbang Antarabangsa Raja Abdul Aziz di sini mendapati seorang penumpang wanita cuba menyeludup 683.5 gram kokain dengan kaedah menelannya.
Hasil imbasan sinar X mendapati perut wanita tersebut dipenuhi dengan 60 kapsul kokain.
Turut ditahan seorang penumpang lelaki yang turut menggunakan modus operandi sama apabila dia didapati menelan 80 kapsul kokain seberat 918.5 gram.
Menurut pihak berkuasa berkuasa negara ini, kedua-dua suspek tersebut akan ditahan untuk siasatan lanjut.
Bagaimanapun, identiti serta asal kedua-dua penumpang berkenaan tidak didedahkan.