NEW YORK: Moderna menyatakan pemberian dos ketiga vaksin Covid-19 keluarannya boleh meningkatkan tahap imunisasi tubuh menentang varian Covid-19 yang ditemukan di Brazil dan Afrika Selatan.
Data awal itu diperoleh daripada 40 sukarelawan yang menyertai ujian percubaan menggunakan suntikan sedia ada vaksin Moderna dan versi terbaharu yang dibangunkan untuk menentang varian Afrika Selatan yang dikenali sebagai mRNA-1273.351.
Keputusan awal menunjukkan suntikan tambahan sama ada menggunakan dos versi asal atau yang terbaharu boleh meningkatkan tahap imunisasi tubuh menentang varian berkenaan.
Ketua Pegawai Eksekutif Moderna, Stephane Bancel berkata, beliau gembira dengan keputusan yang diperoleh dan yakin dos tambahan boleh memberi perlindungan lebih efektif.
“Kedua-dua suntikan tambahan itu dapat diadaptasi dengan baik dan kesan sampingan yang dialami oleh sukarelawan juga sama dengan dua dos suntikan sebelum ini,” katanya dalam kenyataan.
Varian Covid-19 baharu yang ditemukan di Afrika Selatan dan Brazil disifatkan lebih kebal terhadap vaksin.
Kedua-dua varian itu dikesan di Amerika Syarikat (AS), namun tidak menyebabkan penularan jangkitan yang serius.
Sementara itu, Moderna dijangka berkongsi maklumat tambahan mengenai percubaan itu dalam tempoh terdekat. – REUTERS