LONDON: Seorang warga emas yang menghidap hernia dilaporkan mengalami kesakitan teruk akibat benjolan di bahagian perutnya yang membengkak sebesar saiz bola sepak.
Lapor Mirror, Winston Baldwin, 72, sepatutnya menjalani pembedahan mengeluarkan hernia pada Februari tahun lalu namun proses itu terpaksa ditangguhkan disebabkan pandemik Covid-19.
Baldwin yang tinggal berhampiran Alsager di Cheshire kini menderita kesakitan yang sudah tidak mampu ditahan dan masih menunggu pembedahannya.
Menurut laporan StokeonTrentLive, Baldwin mengalami hernia selepas menjalani pembedahan usus pada 2019.
Warga emas itu sepatutnya menjalani satu lagi pembedahan untuk merawat masalah berkenaan di Hospital Crewe’s Leighton tahun lalu, namun ditangguhkan kerana pandemik.
Baldwin sebaliknya diberi korset untuk menyokong bahagian belakang badan namun ia tidak membantu dan dia mengalami sakit yang berterusan selama 15 bulan lalu.
“Saya mengalami sesak nafas ketika berjalan, malah saya tidak dapat bekerja di ladang. Keadaan kesihatan saya semakin teruk.
“Saya diberitahu pembedahan boleh mengancam nyawa tetapi kesakitan masih sama,” katanya.
Dalam pada itu, seorang jurucakap hospital meminta maaf atas kesukaran yang dialami oleh Baldwin.
“Kami sedang meneliti isu ini dan akan berhubung dengan Baldwin mengenai rawatan susulannya,” katanya.