BANGKOK: Masalah kekurangan katil hospital di seluruh Thailand menyaksikan usaha negara ini untuk mengekang penularan Covid-19 berdepan dengan kesukaran.
Lebih 34,000 orang dilaporkan dijangkiti koronavirus dalam bulan ini dan Pentadbiran Situasi Pusat Covid-19 (CCSA) merekodkan sebanyak 1,871 kes baharu dengan lebih 10 kematian sehingga semalam.
Walaupun jumlah kes harian di bawah 2,000 kes untuk kali pertama dalam tempoh enam hari, kebanyakan hospital masih mempunyai jumlah katil yang terhad.
Data Kementerian Kesihatan Awam Thailand menunjukkan peningkatan bagi pesakit yang memerlukan penggunaan alat pernafasan dan mereka yang mengalami keradangan paru-paru akibat Covid-19.
Pertambahan jumlah jangkitan menyebabkan sejumlah hospital membangunkan hospital lapangan dan hospital hotel di seluruh negara.
Namun, kemudahan itu hanya boleh digunakan untuk pesakit Covid-19 yang mempunyai gejala ringan dan mereka yang tenat perlu dimasukkan ke hospital bagi rawatan rapi.
Menurut Jabatan Perkhidmatan Perubatan, terdapat 44,560 katil hospital di seluruh Thailand dan sehingga 27 April lalu, 22,865 katil masih kosong.
Namun, lebih separuh daripada jumlah tersebut melibatkan katil di hospital lapangan dan hospital hotel yang hanya untuk pesakit dengan gejala ringan.
Timbalan pengarah jabatan tersebut, Nattapong Wongwiwat berkata, bilik pengasingan jangkitan bawaan udara (AIIR) merupakan kemudahan paling lengkap untuk pesakit Covid-19 yang serius.
“AIIR yang diubah suai juga boleh digunakan sebagai pilihan kedua untuk merawat pesakit dengan gejala serius.
“Bagaimanapun, kedua-dua jenis bilik berkenaan sudah 70 hingga 80 peratus hampir penuh,” katanya.
Sehubungan itu, Nattapong manzahirkan kebimbangan mengenai jumlah katil yang semakin terhad dan angka pesakit Covid-19 yang serius terus bertambah dalam masa terdekat.
Katil untuk yang memerlukan
Tumpuan kini diberikan kepada sistem kesihatan Thailand berikutan masalah kekurangan katil yang dialami ketika ini.
Pada minggu lalu, seorang wanita warga emas berusia 85 tahun meninggal dunia akibat Covid-19 di rumahnya di Bangkok ketika menunggu kekosongan katil untuk masuk ke hospital.
Kes itu mendapat liputan meluas terutamanya apabila sebuah video TikTok yang menunjukkan wanita itu terbaring atas lantai menjadi tular.
Zon merah pada Mei
Pada tahun lalu, Thailand berjaya mengawal jangkitan Covid-19 dan merekodkan jumlah kematian lebih rendah berbanding negara lain.
Namun, situasi berubah pada tahun ini selepas pihak berkuasa Thailand memutuskan untuk membuka pintu sempadan di beberapa wilayah bagi tujuan pelancongan.
Bagi memperlahankan kadar jangkitan, CCSA mengumumkan zon ‘kawalan ketat’ yang berkuat kuasa semalam di enam wilayah iaitu Bangkok, Chonburi, Chiang Mai, Nonthaburi, Pathum Thani dan Samut Prakarn.
Orang ramai yang tinggal di enam wilayah itu tidak dibenarkan keluar daerah dan perlu mematuhi semua sekatan yang ditetapkan. – AGENSI