MUMBAI: Pihak berkuasa di New Delhi meminta bantuan daripada tentera ketika ibu negara India terus bergelut dengan gelombang kedua pandemik Covid-19 yang semakin parah.
Lapor BBC, kebanyakan hospital di bandar itu berdepan krisis kekurangan katil di unit rawatan rapi (ICU) dan bekalan oksigen kerana kebanjiran pesakit Covid-19 yang sudah melebihi kapasiti.
Kerajaan di New Delhi mahu tentera mengendalikan pusat kuarantin Covid-19 dan hospital.
New Delhi mahu tentera membantu mengendalikan kemudahan bekalan oksigen bagi kira-kira 10,000 pesakit dan sebanyak 1,000 lagi di ICU.
Sebelum ini, Timbalan Ketua Menteri, Manish Sisodia meminta bantuan tentera untuk mengagihkan bekalan oksigen ke pusat-pusat kesihatan yang paling teruk terjejas.
India sudah mengarahkan tenteranya untuk menghantar bekalan oksigen dari kem tentera ke hospital.
Pegawai tentera yang sudah bersara juga dipanggil semula untuk memberi bantuan.
Jumlah kes jangkitan Covid-19 di India kini menghampiri 20 juta kes.
Semalam, data Kementerian Kesihatan menunjukkan negara republik itu mencatatkan kira-kira 370,000 kes baharu Covid-19 dan 3,400 kes kematian dalam tempoh 24 jam.