TORONTO: Kanada meluluskan penggunaan vaksin Covid-19 keluaran Pfizer bagi remaja berumur antara 12 dan 15 tahun.
Kanada menjadi negara pertama di dunia membenarkan penggunaan vaksin Covid-19 dibangunkan syarikat farmaseutikal itu terhadap golongan berkenaan.
Lapor BBC, Kementerian Kesihatan Kanada membuat keputusan itu selepas mengambil kira data ujian klinikal fasa ketiga dilakukan terhadap remaja dalam lingkungan umur tersebut.
“Pihak kami percaya vaksin ini selamat dan berkesan apabila diberikan kepada golongan remaja berkenaan,” kata seorang penasihat di kementerian itu.
Dalam pada itu, Pfizer menyatakan vaksin yang dihasilkannya berkesan dengan baik bagi golongan muda.
Sebelum ini, Kanada sudah meluluskan penggunaan vaksin Pfizer bagi penduduk berusia 16 tahun ke atas.
Alberta yang mencatatkan kes Covid-19 yang tinggi di Kanada, dilaporkan akan memberi suntikan vaksin kepada remaja berusia 12 tahun ke atas bermula Isnin.
Setakat ini, Kanada melaporkan lebih 1.2 juta kes Covid-19 dan kira-kira 20 peratus daripada jumlah itu membabitkan individu dibawah usia 19 tahun.