BATAM: Akibat cemburu buta, seorang lelaki nekad membunuh isterinya dalam satu kejadian, di sini semalam.
Suspek dengan inisial AAS, 36 tahun didakwa mencekik isterinya yang berusia 34 tahun sehingga mati selepas mereka melakukan hubungan kelamin.
Selepas itu, suspek menyerah diri di balas polis dan melaporkan kejadian yang berlaku.
Jurucakap polis, Sofyan berkata, motif kejadian berunsurkan perasaan cemburu suspek terhadap isterinya yang didakwa berlaku curang.
“Suspek nekad mencekik isterinya sehingga meninggal dunia dan dia kelihatan tenang ketika menyerah diri di balai polis.
“Suspek mengakui perbuatannya dan menceritakan bagaimana dia membunuh isterinya,” kata Sofyan.
Dalam pada itu, keluarga mangsa masih terkejut dan sedih dengan insiden yang berlaku.
Pasangan suami isteri itu dikurniakan dua orang anak iaitu lelaki (lapan tahun) dan perempuan (tiga tahun).
Sebelum maut, mangsa dikatakan memesan kepada anak-anaknya supaya jaga diri dan jangan lupakan ibu mereka.
Sementara itu, penduduk setempat memaklumkan suspek baru pulang dari Malaysia dan kini tidak bekerja.
“Faktor itu (menganggur) mungkin menjadi pemicu kepada perasaan cemburu suspek sehingga dia mencekik isterinya sampai mati,” ujar seorang jiran yang enggan mendedahkan identiti. – AGENSI