JAKARTA: Seorang pemandu trak diberkas pihak polis selepas disyaki membunuh dan merogol dua remaja perempuan.
Lapor Kompas.com, dalam kejadian pertama Februari lalu, YT, 41, didakwa merogol dan membunuh pelajar sekolah menengah berusia 18 tahun di sebuah tanah kosong di Batakte, Kupang Barat.
Kejadian seterusnya 17 Mei lalu, dia didapati merogol seorang remaja perempuan berusia 19 tahun dari Kampung Noelmina, Kupang di tempat sama selepas membunuhnya dan mayat mangsa ditemui di dalam hutan.
Ketua Perhubungan Awam Polis NTT, Rishian Krisna Budhiaswanto berkata, kedua-dua mangsa mengenali suspek melalui Facebook.
Katanya, suspek kemudian mengajak mangsa berjumpa dan memaksa mereka melayani nafsu serakahnya.
Jelas Rishian, selepas mangsa enggan mengikut arahannya, suspek membunuh mangsa sebelum merogol mereka.
“Suspek melakukan pembunuhan sebanyak dua kali dan merogol mangsa dengan modus operandi yang sama,” katanya.
Pihak polis berjaya memberkas suspek menerusi keterangan beberapa saksi dan rakaman kamera litar tertutup (CCTV) yang dipasang di rumah mangsa termasuk pemantauan pergerakan nombor telefon bimbit.
Suspek malah sempat mengambil wang milik mangsa kedua sebanyak 150,000 rupiah (RM43) dan telefon bimbitnya.