NEW JERSEY: Seorang remaja berusia 14 tahun tergamak meninggalkan bayi yang baru dilahirkan dan masih bertali pusat di restoran El Patron, Jersey City.
Lapor The Metro, remaja itu sempat menyerahkan bayi tersebut kepada seorang pelanggan pada pukul 4 petang, minggu lalu dan aksi itu berjaya dirakamkan oleh kamera litar tertutup (CCTV) di dalam restoran.
Seorang pekerja restoran, Frankie Aguilar berkata, dia sempat memegang bayi yang baru dilahirkan itu sebelum menghubungi pihak polis.
“Remaja itu kelihatan seperti terdesak dan selepas dia menyerahkan bayi kepada seorang pelanggan, dia terus melarikan diri,” katanya.
Sementara itu, seorang pelanggan, Alease Scott berkata, dia sedang menikmati makanan bersama teman lelakinya sebelum didatangi remaja itu.
Katanya, remaja itu meminta bantuan daripadanya sebelum berlari meninggalkan restoran.
“Bayi itu kelihatan seperti mempunyai masalah pernafasan dan pihak polis tiba ke lokasi dengan bantuan oksigen.
“Selepas saya pakaikan topeng oksigen kepada bayi itu, tiba-tiba dapat kedengaran suaranya menangis dan dia mula bergerak,” jelasnya.
Dalam pada itu, pihak polis berkata, remaja perempuan itu berjaya ditemui dan selepas disoal siasat bayi tersebut didapati bukan miliknya sekali gus bebas daripada sebarang pertuduhan jenayah.
Bayi itu kemudian dihantar menggunakan ambulans ke Pusat Perubatan Jersey City.