RIYADH: Mufti Besar Arab Saudi memaklumkan adalah dibolehkan untuk mengulangi solat dan khutbah Aidilfitri sebanyak tiga kali untuk tiga kumpulan jemaah di semua negara yang penduduk Islamnya adalah minoriti susulan sekatan pandemik Covid-19.
Sheikh Abdul Aziz Abdullah al-Asheikh berkata, keputusan itu boleh dibuat sekiranya sesebuah negara tidak mempunyai banyak masjid dan jika kebanyakannya berada di luar bandar-bandar utama.
“Kita tidak dibenarkan mengulangi solat Aidilfitri dari satu ke satu kumpulan jemaah tanpa keperluan atau hal-hal kecemasan.
“Namun, jika sesebuah negara itu mempunyai bilangan masjid yang sedikit, terutamanya di negara yang penduduk Islam adalah minoriti, maka keadaan itu (pengulangan solat) adalah dibolehkan,” katanya kepada Arab News.
Katanya, kapasiti jemaah yang dihadkan kerana ingin mengelakkan penularan Covid-19 juga membolehkan solat Aidilfitri diulang.