KATHMANDU: Pendaki gunung dan pihak berkuasa di kem pangkalan Everest di Nepal memaklumkan berlaku pertambahan bilangan pendaki yang mempunyai gejala Covid-19 serta disahkan positif wabak tersebut.
Lapor BBC, pihak rasmi kem itu berkata, mereka menerima laporan sebanyak 17 kes yang disahkan dari hospital di ibu negara Kathmandu dengan bilangan pendaki yang dihantar dari kem tersebut untuk menerima rawatan semakin meningkat.
Petugas di di hospital swasta di Kathmandu, klinik CIWEC turut memaklumkan pesakit disahkan positif Covid-19 selepas tiba dari kem itu.
Kerajaan Nepal setakat ini menafikan sebarang kes positif di kem Gunung Everest bagi mengelakkan lebih banyak tekanan untuk menutup kawasan pergunungan itu daripada ekspedisi.
Kehadiran pendaki dari luar negara merupakan sumber keuntungan utama bagi kerajaan Nepal yang terpaksa menutup kem itu tahun lalu disebabkan serangan pandemik.
Pihak berkuasa sebelum ini mengarahkan pendaki menjalani tempoh kuarantin di Nepal sebelum meneruskan perjalanan ke kawasan kem pangkalan.
Namun, kebimbangan semakin meningkat dalam kalangan komuniti pendaki mengenai keseriusan kes wabak di kawasan gunung yang akan menjadi lebih teruk.
Bilangan kes Covid-19 meningkat secara mendadak di Nepal minggu lalu, dan negara itu merekodkan kadar jangkitan tertinggi dalam kalangan negara yang berjiran dengan India.