GAZA CITY: Presiden Amerika Syarikat (AS), Joe Biden menyeru konflik keganasan di Palestin segera dihentikan ketika pelbagai pihak mendesak gencatan senjata dilakukan antara Israel dan Hamas.
Awal pagi semalam, tentera Zionis terus melancarkan serangan udara sebanyak 80 kali di Gaza, menyaksikan kediaman enam pemimpin Hamas musnah.
Sehingga kini, sekurang-kurangnya 230 penduduk Palestin, termasuk 65 kanak-kanak maut dalam konflik yang sudah tercetus selama 11 hari.
Menurut White House, Biden memaklumkan kepada Perdana Menteri Israel, Benjamin Netanyahu bahawa beliau berharap keadaan akan kembali reda dalam tempoh terdekat sebelum gencatan senjata dilaksanakan.
Namun, Netanyahu berkeras untuk meneruskan serangan demi serangan di Gaza sehingga ‘mencapai sasaran yang ditetapkan’.
“Hamas perlu bertanggungjawab atas kira-kira 4,000 serangan roket ke wilayah Israel sepanjang tempoh konflik berlaku.
“Saya yakin untuk teruskan operasi sehingga matlamat kami dicapai, iaitu untuk mengembalikan keamanan dan keselamatan bagi penduduk Israel,” katanya.
Dalam pada itu, pemimpin Hamas, Ismail Haniyeh pula menegaskan pihaknya boleh bertahan lebih lama berbanding yang dijangkakan oleh Zionis.
Selain itu, beberapa pemimpin kanan Hamas menjangkakan gencatan senjata dapat dilaksanakan dalam tempoh sehari dua akan datang.
Seorang daripadanya, Moussa Abu Marzouk berkata, gencatan senjata akan dilaksanakan berdasarkan perjanjian yang dipersetujui sebelum ini. – AFP/AGENSI