MADRID: Gara-gara bertengkar dengan ibu bapa, seorang remaja menggali lubang di laman belakang rumahnya selama enam tahun sehingga berjaya membina sebuah gua bawah tanah sendiri.
Lapor Oddity Central, ketika kejadian Andres Canto berusia 14 tahun apabila dia membawa cangkul untuk menggali gua di halaman belakang rumah di Alicante, Sepanyol selepas bertengkar dengan ibu bapanya.
Remaja itu didakwa bertengkar dengan ibu bapanya selepas dia dilarang memakai seluar sukan trek untuk keluar ke pekan.
Akibat berang dengan ibu bapanya, Canto mula menggali gua di belakang rumahnya sehingga dia menggemari kerja tersebut dan melakukannya hampir setiap hari selepas tamat sesi persekolahan.
Malah, dia turut mengajak rakannya membantu menggali gua itu secara bersama sehingga ia menjadi sebuah gua yang unik dan cantik.
“Ibu dan ayah minta saya tukar pakaian tetapi saya mahu memakai seluar trek agar boleh bermain dengan rakan-rakan namun mereka tidak membenarkan, jadi saya merajuk dan mula menggali gua di belakang rumah,” katanya.
Jelas Canto, dia dan rakannya terpaksa melakukan kerja penggalian kira-kira 14 jam setiap hari dan menggerudi tanah sedalam yang diperlukan untuk membina gua tersebut.
“Kami menggali sebuah ruang rehat dan bilik tidur di gua tersebut. Pada mulanya, hampir semua dilakukan secara manual dan kemudian menggunakan sistem pully.
“Atap dan dinding di gua itu dikukuhkan lagi dengan menggunakan konkrit serta tiang bagi mengelak runtuh,” katanya.
Canto yang kini berusia 20 tahun mendakwa dia hanya berbelanja kira-kira AS$60 (RM248) untuk membeli bahan binaan bagi mengukuhkan gua bawah tanahnya.
Menurut Canto, dia menghabiskan masanya berehat di gua bawah tanah itu yang juga dilengkapi dengan sistem pemanasan, internet tanpa wayar (WiFi) dan elektrik.