WASHINGTON: Bekas Presiden Amerika Syarikat (AS), Barack Obama percaya dengan kewujudan objek terbang tidak dikenal pasti (UFO).
Obama mengakui perkara itu menerusi rancangan The Late Show with James Corden yang disiarkan di saluran televisyen, CBS pada Selasa lalu.
Dalam rancangan tersebut, bekas presiden AS itu ditanya pelbagai soalan termasuk mengenai kewujudan makhluk asing.
Lapor Metro, Obama secara berseloroh menjelaskan bahawa tiada kajian spesifik dilakukan berhubung spesimen makhluk asing dan objek terbang di AS.
Bagaimanapun, beliau percaya dengan kehadiran objek itu tanpa dapat memberi penjelasan yang konkrit.
Malah, katanya, terdapat rekod dan rakaman video objek tidak dikenali yang masih tidak dapat dijelaskan oleh AS.
“Apa yang benar, ada rakaman dan rekod objek itu di langit yang kami tidak tahu.
“Kami tidak boleh jelaskan pergerakan dan trajektori objek itu, tiada penjelasan konkrit dapat diberikan,” katanya.
Komen itu dibuat beberapa hari selepas juruterbang jet pejuang AS mendakwa mengesan fenomena udara tidak dikenali (UAP) di luar pesisir pantai Virginia hampir setiap hari selama dua tahun.