SYDNEY: Beberapa kerajaan bertindak mengenakan sekatan perjalanan terhadap mana-mana individu dari India yang berhasrat memasuki ke negara masing-masing dalam usaha mengelak penularan varian baharu Covid-19.
Pihak berkuasa Australia memaklumkan penduduk dan warganegaranya yang berada di India dalam tempoh 14 hari sejak tarikh merancang untuk pulang, tidak akan dibenarkan memasuki negara itu mulai 3 Mei ini.
Jelas pihak berkuasa Australia, individu yang melanggar larangan itu juga akan berdepan hukuman penjara dan denda.
Langkah mengenakan larangan sementara itu merupakan sebahagian daripada kaedah ketat untuk menghentikan kemasukan pengunjung dari negara yang bergelut dengan lonjakan kes Covid-19 dan kematian ke Australia.
Menteri Kesihatan, Greg Hunt dalam satu kenyataan memaklumkan pihak yang melanggar larangan tersebut berisiko dikenakan hukuman sivil dan penjara sehingga lima tahun.
“Kerajaan tidak membuat keputusan ini dengan mudah. Ia amat penting bagi integriti sistem kesihatan awam dan kuarantin Australia dilindungi sepenuhnya.
“Malah, jumlah kes Covid-19 di pusat kuarantin dilaporkan sudah berkurangan ke tahap yang dapat dikendalikan,” katanya dalam satu kenyataan.
Jelasnya, kerajaan Australia akan mempertimbangkan semula larangan tersebut pada 15 Mei depan.
Dalam pada itu, Presiden Amerika Syarikat (AS), Joe Biden mengenakan sekatan perjalanan ke atas India susulan krisis pandemik Covid-19 yang berlaku di negara republik itu.
White House dalam satu kenyataan menjelaskan larangan tersebut yang menyekat sebahagian besar warganegara bukan AS daripada memasuki negara itu, akan berkuatkuasa pada 4 Mei ini.
Sekatan itu dilaksanakan atas nasihat Pusat Kawalan Dan Pencegahan Penyakit Berjangkit (CDC) AS disebabkan skop pandemik Covid-19 di India semakin parah.
Minggu lalu, Kenya mengenakan larangan sementara ke atas semua penerbangan penumpang dari India.
Larangan tersebut susulan tindakan serupa dilakukan oleh beberapa negara lain termasuk Kanada, Emiriah Arab Bersatu (UAE), Belgium dan Britain.
Itali pula mengetatkan lagi peraturan perjalanan bagi pengunjung dari India, Bangladesh dan Sri Lanka. – REUTERS/AGENSI