LONDON: Putera William menyalahkan portal berita BBC semasa menemu bual mendiang ibunya, Puteri Diana sehingga mengeruhkan lagi hubungan bapa dan ibunya sehingga membawa kepada penceraian mereka.
Lapor BBC, Duke of Cambridge itu mendapati BBC tidak mengamalkan standard pelaporan sepatutnya dan beliau lebih berdukacita kerana Diana tidak tahu langsung mengenai dirinya yang sudah ditipu oleh saluran berita itu.
Jelasnya, ibunya bukan sahaja diperdayakan oleh wartawan tidak beretika, tetapi turut melibatkan bos-bos besar di BBC.
Perkara sama turut disuarakan oleh adiknya, Putera Harry yang melabelkan media sebagai toksik berhubung laporan kematian ibunya.
Dalam kenyataan berasingan, Duke of Sussex itu berkata, amalan kewartawanan tidak beretika dan budaya eksploitasi akhirnya meragut nyawa ibunya.
Beliau turut menzahirkan kebimbangan mengenai amalan yang masih merebak sehingga ke hari ini dan semakin meluas dari satu rangkaian, cawangan dan penerbitan.
“Ibu kami kehilangan nyawa disebabkan perkara seperti ini dan tiada perubahan yang berlaku. Bagi melindungi legasinya, kami melindungi semua orang dan membela maruah sepanjang hidupnya,” katanya.
Susulan itu, BBC membuat permohonan maaf kepada William, Harry dan Putera Charles termasuk kepada abang Diana, Earl Spencer.