LONDON: Seorang bekas wartawan BBC meminta maaf kepada Putera William dan Putera Harry selepas siasatan mendapati dia menipu Puteri Diana untuk mendapatkan satu wawancara eksklusif.
Lapor Metro, Martin Bashir mengakui menyesal atas perbuatannya menipu ibu kepada Duke of Cambridge dan Duke of Sussex itu untuk menjayakan wawancaranya pada 1995.
Bagaimanapun, Bashir menegaskan dakwaan yang mengaitkan perbuatannya untuk mendapatkan wawancara sensasi itu dengan kematian Puteri Diana sebagai tidak munasabah.
Bashir mendakwa tidak pernah berhasrat `menyakiti’ Diana malah dia dan seluruh keluarganya amat menyayangi puteri itu sehingga terus mempunyai hubungan baik dengan kerabat diraja selepas wawancara itu disiarkan.
Komen itu dibuat selepas siasatan diketuai oleh Lord Dyson mendedahkan Bashir menggunakan dokumen palsu untuk menyakinkan abang Diana, Earl Spencer bagi menjayakan wawancara sensasi itu.
Dalam wawancara tersebut, Puteri Diana antara lain menceritakan mengenai perkahwinannya yang gagal dengan Putera Charles.
Bashir turut mendakwa Diana melawat isterinya, Deborah selepas dia melahirkan anak ketiga, Eliza di hospital St George di Tooting.