GAZA CITY: Seorang lelaki sempat merakam video terakhir bersama dua anak perempuannya sebelum dia maut di tangan tentera Israel.
Berdasarkan video yang tular dalam media sosial, lelaki tersebut yang dikenali sebagai Ahmed Mansi dilihat bermain dengan anak perempuannya ketika pesawat tentera Israel melalui ruang udara Semenanjung Gaza.
Anak-anak perempuan Ahmed yang takut mendengar bunyi pesawat itu memeluk bapanya sebelum mereka ditenteramkan.
Kedengaran dalam video tersebut, Ahmed memujuk anak-anaknya bahawa tiada apa yang akan berlaku dan jangan takut.
“Jangan takut dan teruskan bermain ya,” katanya kepada anak-anaknya.
Selain itu, Ahmed turut berjanji untuk membeli permainan untuk anak-anaknya.
Dua hari selepas video itu tular, Ahmed dilaporkan terkorban bersama suadaranya akibat serangan udara tentera Zionis.
Kematian Ahmed disahkan oleh kumpulan pemantau Euro-Mediterranean Human Rights Monitor yang merekodkan jumlah kematian penduduk Palestin akibat serangan Israel.