OHIO: Satu video yang memaparkan seorang bapa sedang menangis dan merayu kepada anak perempuannya untuk tidak mengambil suntikan vaksin Covid-19, menjadi tular dalam media sosial.
Lapor Metro, lelaki itu bertindak demikian kerana percaya kesan sampingan suntikan vaksin Covid-19 kononnya akan membunuh anak perempuannya, Brianna.
Brianna dari Kentucky berkata, bapanya juga menawarkan wang sebanyak AS$2,000 (RM8,268) kepadanya untuk tidak mengambil suntikan vaksin tersebut.
Klip video yang dimuat naik di TikTok itu menunjukkan bapanya mendakwa Brianna dan ibunya yang sebelum ini sudah menerima suntikan vaksin, akan mati akibat kesan sampingan selsema pada tahun ini.
“Ini bukan vaksin, ia adalah ujian klinikal manusia dan merupakan terapi genetik bukannya vaksin.
“Ia tidak termasuk dalam kategori vaksin malah tidak diluluskan oleh Pentadbiran Makanan dan Ubatan Amerika Syarikat (FDA),” kata bapa Brianna.
Ketika ini, FDA sudah meluluskan vaksin keluaran Moderna, Pfizer dan Johnson & Johnson (J&J) untuk kegunaan kecemasan di AS.
Dalam satu lagi video, Brianna mengucapkan terima kasih kepada penontonnya atas sokongan yang diberikan kepadanya.
Menurutnya, dia sudah menerima suntikan vaksin Covid-19 namun tidak memaklumkan kepada bapanya kerana tidak mahu mencetuskan suasana panik.