WASHINGTON: Presiden Amerika Syarikat (AS), Joe Biden menyatakan sokongan untuk melakukan pengecualian global mengenai perlindungan hak cipta vaksin Covid-19.
Pengumuman itu sekali gus memberikan harapan kepada negara miskin yang bergelut mendapatkan akses terhadap bekalan vaksin.
India yang merekodkan lonjakan angka kematian akibat Covid-19 berjuang menerusi Pertubuhan Perdagangan Sedunia (WTO) bagi membolehkan lebih banyak penghasil ubat-ubatan mengeluarkan vaksin walaupun tindakan itu mendapat tentangan daripada banyak syarikat gergasi farmasi.
Perwakilan Perdagangan AS, Katherine Tai berkata, Washington menyokong pengecualian hak cipta bagi vaksin Covid-19 itu bagi mengekang penularan wabak walaupun mengakui pemilikan harta intelek dalam perniagaan adalah penting.
“Ini adalah krisis kesihatan global dan situasi ini memerlukan tindakan luar biasa. Namun, rundingan ini akan memakan masa kerana sifatnya berdasarkan konsensus WTO,” jelasnya.
Sokongan itu juga secara tidak langsung menyaksikan Biden berdepan tekanan, terutamanya daripada negara kaya yang sehingga kini memonopoli bekalan vaksin dunia.
Sementara itu, Ketua Pertubuhan Kesihatan Sedunia (WHO), Tedros Adhanom Ghebreyesus memuji keputusan AS itu sebagai langkah bersejarah dalam membendung penularan jangkitan Covid-19 di dunia.
Sejak berbulan-bulan, WTO digesa menghapuskan perlindungan harta intelek terhadap vaksin Covid-19 buat sementara waktu yang dikenali sebagai TRIPS iaitu merujuk perjanjian mengenai Aspek Harta Intelek berkaitan Perdagangan.
Cadangan itu mendapat tentangan hebat daripada syarikat gergasi farmasi yang menegaskan hak paten bukanlah penghalang utama meningkatkan pengeluaran vaksin serta memberi peringatan langkah itu akan menghalang proses inovasi.
Bagaimanapun, New Zealand dan Australia mengalu-alukan pengumuman AS itu kerana dapat membantu negara itu menghasilkan vaksin RNA di peringkat tempatan. – AFP