WASHINGTON: Agensi kesihatan tertinggi di Amerika Syarikat (AS) menarik balik peraturan pemakaian pelitup muka di tempat awam bagi individu yang sudah menerima suntikan vaksin Covid-19 sepenuhnya.
Pengumuman dibuat oleh Pusat Kawalan dan Pencegahan Penyakit (CDC) menandakan perubahan besar setelah lebih setahun mendesak rakyat AS mengenakan pelitup muka untuk mengekang penularan wabak Covid-19.
“Mana-mana individu yang sudah melengkapkan dos suntikan vaksin Covid-19 boleh menyertai aktiviti dalam dan luar, besar atau kecil tanpa perlu memakai pelitup muka atau mengamalkan penjarakan sosial.
“Hanya jika anda diberi vaksin Covid-19 sepenuhnya, anda boleh mula melakukan perkara-perkara tidak dapat buat sebelum ini disebabkan pandemik,” Pengarah CDC, Rochelle Walensky dalam taklimat.
Presiden AS, Joe Biden menyifatkan langkah menarik balik pemakaian pelitup muka itu sebagai hari yang baik dalam menangani pandemik Covid-19.
Dalam ucapan penuh beremosi, Biden turut mengisytiharkan kemenangan besar dalam pertempuran melawan virus yang telah membunuh lebih 580,000 orang di AS.
“Saya rasa ia merupakan kejayaan besar kita kecapi pada ketika ini,” katanya dari White House. – AFP