BAITULMUQADDIS: Amerika Syarikat (AS) akan membuka semula kedutaan negara itu di Baitulmuqaddis, kata Setiausaha Negara, Antony Blinken.
Usaha itu disifatkan sebagai satu langkah memulihkan semula hubungan dengan Palestin dan secara tidak langsung menandakan perubahan dasar AS berbanding era pentadbiran bekas presiden, Donald Trump.
Blinken mengumumkan perkara itu selepas mengadakan pertemuan dengan Presiden Palestin, Mahmud Abbas di Ramallah di Tebing Barat.
Bagaimanapun, Blinken tidak mengumumkan sebarang tarikh khusus pembukaan semula kedutaan AS di Baitulmuqaddis.
“Saya berada di sini untuk menekankan komitmen AS untuk membina semula hubungan dengan Pihak Berkuasa Palestin (PA) dan rakyatnya.
“Hubungan yang dibina semula berdasarkan saling hormat-menghormati dan menyuarakan kepercayaan bersama bahawa rakyat Palestin dan Israel berhak menikmati keselamatan, peluang kebebasan dan maruah yang sama,” katanya.
Trump sebelum ini bertindak menutup semua misi diplomatik dan menghentikan bantuan kepada Palestin.
Blinken mengadakan lawatan ke Israel dan Palestin beberapa hari selepas gencatan senjata dipersetujui antara zionis dan Hamas bagi mengakhiri serangan keganasan di Semenanjung Gaza.
Sebelum ini, Blinken memaklumkan lawatannya bertujuan menyokong usaha untuk memperkukuhkan lagi gencatan senjata.
Dalam pada itu, Blinken berjanji untuk bersama negara lain menzahirkan sokongan untuk membantu membina semula Gaza susulan konflik tersebut.
Beliau juga mengumumkan bantuan kira-kira AS$40 juta (RM165 juta) kepada penduduk Palestin termasuk bantuan kecemasan sebanyak AS$5.5 juta (RM23 juta) untuk Gaza. – AP