ROM: Seorang pengumpul karya seni daripada pihak swasta sanggup membeli sebuah arca yang tidak kelihatan dengan harga 15,000 pound (RM75,000) semasa sesi lelongan diadakan.
Lapor Oddity Central, arca seni itu dihasilkan oleh pelukis Itali, Salvatore Garau.
Arca yang bertajuk ‘I am’ adalah karya seni yang kelihatan kosong tetapi sebenarnya mewakili maksud sebuah kekosongan yang secara teknikalnya diisi oleh tenaga arca.
Pelukis itu turut memberitahu, karya seni berukuran 150×150 sentimeter tersebut perlu disimpan dalam ruangan khas yang bebas daripada halangan.
Katanya, pencahayaan khas dan kawalan suhu pula adalah satu pilihan kepada penyimpanannya.
“Hasil lelongan itu berjaya membuktikan terdapat fakta yang tidak dapat dibantah. Kekosongan itu hanyalah ruang yang penuh dengan tenaga,” katanya.