RIYADH: Arab Saudi mengutuk sekeras-kerasnya tindakan kejam rejim Zionis di Baitulmuqaddis dan keganasan yang dilakukan oleh tentera Israel di Masjid Al-Aqsa.
Penegasan itu disuarakan Raja Arab Saudi, Raja Salman Abdulaziz al Saud menerusi perbualan telefon dengan Perdana Menteri Pakistan, Imran Khan ketika membincangkan mengenai serangan Israel di Baitulmuqaddis.
Lapor Saudi Press Agency, Raja Salman berkata, Arab Saudi berdiri bersama rakyat Palestin yang ditindas dalam memastikan golongan itu mendapat hak yang sepatutnya.
Dalam pada itu, Imran turut mengucapkan salam Aidilfitri kepada Raja Salman sempena sambutan perayaan yang diraikan oleh umat Islam di seluruh dunia.
Raja Salman dan Imran juga berbincang mengenai hubungan dua hala antara Arab Saudi dan Pakistan. – AGENSI