NEW YORK: Ketika kebanyakan negara di seluruh dunia berebut untuk mendapatkan bekalan vaksin Covid-19, masih ada negara yang tergapai-gapai untuk ‘selamatkan diri’ daripada ancaman koronavirus.
Menurut Pertubuhan Kesihatan Sedunia (WHO), kira-kira puluhan negara yang kebanyakannya di Afrika masih menunggu bekalan vaksin.
Antara negara yang sehingga kini masih belum mendapat bekalan vaksin termasuk Chad, Burkina Faso, Burundi, Eritrea dan Tanzania.
Penyelaras bersama Tabung Kanak-Kanak Pertubuhan Bangsa-Bangsa Bersatu (UNICEF) untuk program Covax, Gian Gandhi berkata, terdapat kebimbangan mengenai kemunculan beberapa varian baharu di negara yang belum mendapat bekalan vaksin.
“Memang wajar untuk kita berasa bimbang mengenai kemunculan varian baharu Covid-19 yang lebih berbahaya dan kebal di negara-negara yang sifar vaksin,” katanya.
Seorang doktor di sebuah hospital di N’Djamena, Chad, Dr. Oumaima Djarma, 33, berkata, mereka tidak pernah berdebat vaksin mana yang paling bagus untuk digunakan.
Hal ini kerana, tiada satu pun bekalan vaksin disimpan di hospital berkenaan, walaupun untuk para doktor dan petugas perubatan yang merawat pesakit Covid-19.
“Saya rasa keadaan ini (tiada bekalan vaksin) adalah tidak adil dan tidak sepatutnya berlaku. Ia amat menyedihkan saya. Namun, apa pilihan yang kami ada?
“Semua orang perlu mempunyai peluang untuk divaksin, terutamanya mereka yang mudah terdedah,” jelasnya.
Sementara itu, Chad dijangka mendapat bekalan pertama vaksin keluaran Pfizer pada bulan depan sekiranya tidak berdepan dengan isu logistik serta penyimpanan.