JAKARTA: Kementerian Pendidikan, Kebudayaan, Penyelidikan dan Teknologi menyalurkan dana berjumlah 33 bilion rupiah (RM9.6 juta) untuk biasiswa pendidikan kepada 86 anak kru kapal selam KRI Nanggala 402.
Menterinya, Nadiem Makarim berkata, biasiswa itu bertujuan menjamin kelangsungan pendidikan semua anak kru Nanggala bermula dari peringkat tadika sehingga ke universiti.
“Presiden Joko Widodo (Jokowi) mengarahkan supaya semua anak kru Nanggala menerima biasiswa pendidikan penuh.
“Dana biasiswa itu akan diagihkan secara berperingkat sehingga 2044,” katanya kepada Suara.com.
Jelas Nadiem, kematian semua kru Nanggala merupakan kehilangan negara yang amat besar.
Dalam pada itu, Ketua Staf Tentera Nasional Indonesia, Yudo Margono berkata, biasiswa itu adalah sebagai penghargaan atas jasa dan pengorbanan kru Nanggala kepada negara.