LONDON: Kumpulan aktivis haiwan, Animal Rebellion melakukan halangan di pusat pengedaran makanan McDonald’s di Britain bagi menuntut rangkaian restoran itu menggunakan sumber makanan berasaskan tumbuhan.
Lapor Reuters, sekitar 50 peserta protes menggunakan trak dan buluh bagi menghalang lori meninggalkan empat pusat pengedaran makanan itu.
Jurucakap kumpulan itu, James Ozden berkata, makanan berasaskan daging dan produk tenusu memusnahkan planet bumi, menyebabkan penebangan hutan semakin bertambah, pelepasan besar gas rumah hijau dan berbilion haiwan dibunuh setiap tahun.
“Cara yang lebih realistik dan lestari untuk memberi makanan kepada 10 bilion penduduk adalah mengamalkan sistem makanan berasaskan tumbuhan,” jelasnya.
Jurucakap McDonald’s United Kingdom, meminta maaf kepada pelanggannya akibat gangguan tersebut.
“Kami menghadapi masalah penghantaran makanan ke rangkaian restoran,” katanya.