WASHINGTON: Bekas Presiden Amerika Syarikat (AS), Donald Trump disekat secara kekal daripada menggunakan Facebook.
Pengumuman itu dibuat oleh Facebook selepas memutuskan hantaran yang dibuat oleh Trump mengenai rusuhan di bangunan Capitol dilihat ‘menyokong masyarakat untuk terlibat dalam keganasan’.
“Facebook mendapati dua hantaran yang dibuat oleh Trump pada 6 Januari lalu mencabuli Tahap Piawaian Komuniti Facebook dan Garis Panduan Komuniti Instagram,” jelas rangkaian sosial media tersebut.
Hantaran pertama yang dibuat Trump bertulis ‘kami sayangkan anda. Anda sangat istimewa’, manakala hantaran kedua pula berbunyi ‘patriot yang hebat’ dan ‘ingat hari ini buat selamanya’ sambil merujuk kepada rusuhan di Capitol.
Dua hantaran itu menyaksikan akaun Facebook Trump disekat selama 24 jam sebelum sekatan itu disambung sehingga 21 Januari, iaitu selepas majlis pelantikan Joe Biden sebagai Presiden AS baharu.
Kemudian, Lembaga Pemerhati Facebook membuat penilaian sehinggalah memutuskan akaun bekas presiden itu akan disekat selamanya. – AGENSI