GENEVA: Satu data mendedahkan hampir setiap saat seorang individu terpaksa melarikan diri di negara sendiri akibat konflik dan bencana alam, pada tahun lalu.
Situasi itu secara tidak langsung mendorong bilangan orang yang tinggal di penempatan sementara semakin bertambah.
Perkara itu berlaku walaupun terdapat sekatan pergerakan dilaksanakan di seluruh dunia dalam usaha mengekang penularan pandemik Covid-19.
Berdasarkan laporan bersama dikeluarkan oleh Pusat Pemantauan Pemindahan Dalaman (IDMC) dan Majlis Pelarian Norway (NRC), ribut kuat, konflik berterusan dan keganasan memaksa 40.5 juta penduduk melarikan diri di negara sendiri.
Jelas laporan itu, jumlah itu merupakan angka tertinggi baharu dilaporkan dalam tempoh 10 tahun.
Ia secara tidak langsung menjadikan jumlah orang yang tinggal di penempatan sementara di dalam negara di seluruh dunia meningkat kepada 55 juta.
“Kedua-dua angka yang dilaporkan pada tahun ini menunjukkan peningkatan luar biasa,” kata Pengarah IDMC, Alexandra Bilak.
Menurut Bilak, lonjakan statistik pemindahan dalam negara tidak pernah berlaku sebelum ini.
Berdasarkan data, jumlah orang yang dipindahkan dalam negara, kini melebihi dua kali ganda berbanding 26 juta penduduk yang melarikan diri dan merentas sempadan sebagai pelarian.
“Agak mengejutkan seseorang dipaksa melarikan diri dari rumah mereka di negara sendiri hampir setiap saat pada tahun lalu.
“Kita gagal melindungi golongan yang tidak berdaya di dunia daripada konflik dan bencana,” kata Ketua NRC, Jan Egeland dalam satu kenyataan. – AFP