BAITULMUQADDIS: Sekurang-kurangnya 163 penduduk Palestin dan enam anggota polis Israel tercedera dalam pertempuran di Baitulmuqaddis.
Lapor BBC, Palang Merah Palestin dan polis Israel mengesahkan perkara tersebut.
Sebahagian besar orang cedera di perkarangan Masjid Al-Aqsa ketika penduduk Palestin membaling batu dan botol terhadap polis Israel yang melepaskan getah dan bom tangan ke arah mereka.
Terdahulu, beribu-ribu penduduk berkumpul di Masjid Al-Aqsa untuk menunaikan solat Jumaat terakhir Ramadan.
Palang Merah Palestin memberitahu bahawa pihaknya membuka sebuah hospital lapangan untuk merawat mangsa yang cedera dalam pertempuran itu.
Ketegangan semakin memuncak sejak beberapa hari lalu dengan pertengkaran hampir setiap hari mengenai ancaman pengusiran penduduk Palestin dari rumah mereka di Baitulmuqaddis bagi memberi laluan kepada penduduk Israel.
Masjid Al-Aqsa merupakan masjid ketiga paling suci bagi umat Islam.
Polis Israel berkata, pihaknya terpaksa menggunakan kekerasan untuk memulihkan ketenteraman disebabkan rusuhan ribuan jemaah selepas solat pada waktu malam. – AGENSI