WASHINGTON: Sebanyak 12 orang terbunuh dan sekurang-kurangnya 49 cedera dalam insiden tembakan berlaku di seluruh Amerika Syarikat (AS) pada hujung minggu lalu.
Kejadian itu selepas Presiden AS, Joe Biden menyifatkan kes jenayah senjata api di negara itu sebagai epidemik pada bulan lalu.
Insiden tembakan maut berlaku di New Jersey, South Carolina, Georgia, Ohio dan Minnesota.
Menurut polis, dua orang meninggal dunia dan sekurang-kurangnya 12 orang cedera dalam kejadian tembakan berlaku di parti rumah di Camden, New Jersey pada malam Sabtu.
Di South Carolina pula, seorang remaja perempuan berusia 14 tahun terbunuh dan 14 lagi cedera ketika berada di konsert.
Polis di Atlanta, Georgia menemui tiga mangsa tembakan pada awal pagi semalam selepas menerima panggilan kecemasan mengenai insiden tersebut.
Lapor media AS, kesemua tiga mangsa meninggal dunia di tempat kejadian.
Sebanyak tiga orang terbunuh dan lapan lagi cedera di luar sebuah bar di Youngstown, Ohio pada awal pagi semalam, manakala seorang remaja perempuan berusia 16 tahun maut dan tujuh mengalami kecederaan di sebuah taman di Columbus.
Dilaporkan, insiden tembakan maut juga berlaku di Minneapolis, Minnesota, malam sebelum penyokong dan ahli keluarga George Floyd mengadakan perarakan bagi memperingati ulang tahun pertama kematian warga kulit hitam yang meninggal dunia itu.
Seorang penduduk terbunuh manakala lapan orang cedera termasuk seorang mangsa dalam keadaan kritikal.
Polis Minneapolis memberitahu AFP bahawa seorang suspek dalam kejadian tembakan itu telah ditahan dan suspek kedua pula meninggal dunia. – AFP