LONDON: Pengacara televisyen, Steph McGovern terkejut selepas seorang tetamu undangan dalam rancangannya menyatakan hasrat untuk berkahwin dengan sebuah lampu chandelier antik.
Lapor Daily Star, Amanda Liberty menerusi rancangan itu mengakui jatuh cinta dengan lampu antik yang berusia 93 tahun.
Jelas Liberty, cintanya ke atas lampu antik itu semakin berkembang dari hari ke hari sehingga ia menjadi kasih sayang yang kuat berbanding terhadap manusia.
Katanya, dia kini bercadang untuk berkahwin dengan lampu chandelier Germain yang dinamakan sebagai Lumiere dalam beberapa bulan akan datang.
“Saya tidak melihat Lumiere sebagai objek biasa seperti mana dilakukan orang ramai.
“Ia sesuatu tenaga yang anda dapat rasakan. Begitulah perasaan saya alami. Saya benar-benar jatuh cinta,” katanya.
Menurut Liberty, dia mula-mula tertarik dengan objek ketika menyukai sebuah alat drum.
“Agak sukar menjelaskan, saya pun tidak tahu mengapa saya jatuh cinta dengan objek. Ia sesuatu yang tidak dapat diterangkan,” katanya dalam rancangan tersebut.