LONDON: Seorang wanita mengakui mengambil lebih 700 suntikan Botox sejak enam tahun lalu untuk membantu mengatasi masalah migrain yang dialaminya.
Lapor Metro, Rosehannah Jeffrey dari Elloughton, East Yorks menghidap migran kluster kronik selama lebih 20 tahun.
Katanya, penyakit saraf kronik itu mula menyerangnya ketika berusia 13 tahun dan berlanjutan selama beberapa dekad sehingga sering mengalami sakit kepala, loya serta sensitif terhadap cahaya dan bunyi.
Dilaporkan, Jeffrey mengambil sebanyak 31 suntikan botox di dahi, belakang kepala, leher dan bahagian atas bahunya.
Ibu kepada dua orang anak itu menerima suntikan itu setiap 12 minggu di Hospital Spire di Hull, East York.
Jeffrey kini mengakui hanya mengalami migrain sebanyak lima hingga lapan kali dalam tempoh sebulan berbanding kira-kira 30 kali sebelum ini.
“Saya mengalami migran teruk hampir setiap hari sejak berusia 13 tahun. Ia agak menyusahkan kerana saya tidak dapat melakukan aktiviti harian akibat sering berasa sakit.
“Saya agak terkejut selepas dinasihatkan untuk mengambil suntikan botox memandangkan ia biasa dilakukan untuk tujuan kosmetik.
“Namun, saya sanggup mencuba apa sahaja untuk mengurangkan kesakitan akibat migrain ini,” katanya.
Menurut Jeffrey, meskipun suntikan botox itu agak menyakitkan, ia ternyata memberi kelegaan kepada masalah migrain dialaminya.
“Suntikan itu berkesan. Saya rasa jauh lebih baik sekarang dan ia melegakan rasa sakit dengan segera,” katanya.